Tuesday, January 6, 2009

Malaysia Perlu Tingkat Keupayaan Modal Insan

26 Nov - Malaysia Perlu Tingkat Keupayaan Modal Insan
WEDNESDAY, 26 NOVEMBER 2008 08:31
graduann

GENTING HIGHLANDS - Malaysia tidak boleh lagi bergantung kepada sumber asli dan bahan mentah dalam usaha mencapai status negara maju sebaliknya perlu meningkatkan keupayaan modal insan

menerusi pelaksanaan sistem pendidikan berkualiti serta bertaraf dunia.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata negara maju bergantung kepada aset modal insan yang cemerlang yang lahir hasil sistem pendidikan yang baik, berkesan dan bertaraf dunia, bukannya sumber asli atau bahan mentah.

Sambil menjelaskan Malaysia kini sudah dikategorikan sebagai negara maju dalam kalangan negara membangun, beliau berkata, sistem pendidikan cemerlang lazimnya membuahkan hasil yang memenuhi keperluan guna tenaga manusia untuk memajukan negara.

“Saya yakin dengan usaha dan komitmen semua pihak, kita berpeluang mencapai kemajuan dengan cepat berbanding kebanyakan negara membangun lain kerana kita memiliki sistem pendidikan terbaik, sistem persekolahan mantap dan tenaga manusia yang komited dengan tugas masing-masing.

“Semua kelebihan yang kita miliki ini perlu digembleng secara bersepadu menerusi pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang digubal,” katanya berucap merasmikan Konvensyen Nasional Kedua PIPP 2008 di Institut Aminuddin Baki (IAB) di sini, semalam.

Teks ucapan beliau disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr Zulkurnain Awang. Hadir sama Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, dan Pengarah IAB, Dr Khair Mohamad Yusof. Pada majlis itu, Zulkurnain turut melancarkan buku PIPP yang dihasilkan warga pendidikan. Konvensyen selama empat hari itu bertema `Pelaksanaan PIPP: Satu Refleksi’.

Hishammuddin berkata, PIPP berfungsi sebagai mekanisme yang amat penting serta kritikal kerana kejayaan pelaksanaannya akan membantu menjana dan mempercepat proses pembangunan sumber manusia serta kemajuan sektor lain seperti ekonomi, politik dan juga sosial.

Justeru, katanya, peserta konvensyen itu yang terdiri daripada pemimpin, pengurus, perancang serta pelaksana dasar pendidikan perlu meneliti pencapaian setiap teras PIPP setakat ini, sekali gus mencari dan mengenal pasti ruang yang terlepas pandang atau kekurangan untuk diatasi.

Beliau turut menjelaskan empat aspek utama yang menjadi elemen penting mendasari pelaksanaan PIPP untuk menganalisis dan menilai prestasi dalam proses pelaksanaan pelan induk itu, iaitu akses dan ekuiti, kualiti dan peluang, kecekapan dan produktiviti, serta kepelbagaian.

“Saya tidak mahu semasa dan selagi saya masih menjawat jawatan sebagai Menteri Pelajaran, masih ada anak-anak kita yang berada dalam situasi yang merugikan, dinafikan hak atau kurang daya saing,” katanya.

“Sebaliknya, kita mahu memecah dan menghapuskan semua bentuk kekurangan yang mereka hadapi agar boleh turut bersaing dengan rakan yang mewarisi keberuntungan peluang dengan kapasiti sama untuk maju dan berpeluang merebut semua yang disediakan kerajaan secara adil serta saksama.

“Saya akan meminta pihak perancang dasar di Kementerian Pelajaran untuk meneliti secara serius resolusi yang dihasilkan konvensyen kali ini supaya ia membantu dan menjadi kayu ukur untuk kita memperkemas seluruh jentera pelaksana PIPP,” katanya.



Sumber: Berita Harian

No comments:

Post a Comment